Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Rabu, 4 Februari. - Sempena Hari Kanser Sedunia 2026, The Brunei Cancer Centre (TBCC), Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah mengumpulkan pesakit, penjaga, keluarga, ahli profesional kesihatan serta golongan belia di bawah tema global 'United by Unique', menegaskan semula kepercayaan bahawa walaupun setiap perjalanan kanser bersifat peribadi, kekuatan lahir melalui perpaduan dan sokongan bersama.
Inisiatif Hari Kanser Sedunia ini telah menghimpunkan komuniti tempatan dalam sebuah program bermakna yang berteraskan konsep penyembuhan melalui seni.
Program ini menonjolkan ekspresi kreatif sebagai pendekatan sokongan dan terapeutik yang melengkapi penjagaan kanser secara holistik, di samping mengiktiraf ketabahan para pesakit serta dedikasi para penjaga yang sentiasa bersama mereka.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga selaku Pengerusi dan Pengarah Eksekutif JPMC.
Pakar Perunding dan Ketua Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Pusat Kanser Brunei (EDCPS), Datin Dr. Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee juga selaku Pengerusi Hari Kanser Sedunia 2026 dalam ucapannya menekankan kepentingan untuk mengiktiraf keunikan setiap individu sambil berganding bahu sebagai sebuah komuniti.
“Tema ini mengingatkan kita bahawa walaupun kanser mungkin menjejaskan ramai antara kita, setiap perjalanan adalah sangat peribadi," ujar Datin Dr. Hajah Noraslinah.
“Mengetengahkan pendekatan inovatif dalam sokongan pesakit, beliau turut membincangkan manfaat Terapi Seni, dengan menyatakan bahawa Terapi Seni bukan sekadar bersifat ekspresif, malah berasaskan bukti.
“Kajian menunjukkan bahawa terapi seni berstruktur mampu mengurangkan kebimbangan, kemurungan dan tekanan emosi secara ketara, di samping meningkatkan kesejahteraan keseluruhan serta kualiti hidup pesakit," tambahnya.
Seiring dengan itu, TBCC kini menjalankan sesi terapi seni secara berterusan untuk para pesakitnya, yang membantu memupuk hubungan sosial, empati, serta mewujudkan persekitaran penjagaan yang lebih menyokong dalam kalangan pesakit, ahli keluarga dan penjaga.
Sorotan utama program ini ialah sesi perkongsian pesakit, di mana para pejuang kanser berkongsi refleksi peribadi mengenai perjalanan rawatan mereka, penjagaan yang diterima serta kehidupan selepas kanser.
Pengalaman yang dikongsikan menjadi peringatan yang penuh makna tentang keberanian, harapan dan rasa syukur, sekali gus mencerminkan semangat 'United by Unique' melalui kepelbagaian pengalaman yang disatukan oleh kekuatan bersama.
Dalam usaha menyokong kesejahteraan emosi, program ini turut memasukkan persembahan seni ekspresif sebagai tanda penghargaan dan solidariti. Persembahan ini termasuklah persembahan instrumental dan 'koor' terapeutik oleh Expression Music Academy, serta kakitangan JPMC. Disampaikan dengan penuh kepekaan dan rasa hormat, ekspresi ini mencerminkan dorongan, perpaduan dan penjagaan kolektif melalui seni.
Program ini juga merangkumi sesi terapi seni untuk pesakit, yang menyediakan ruang selamat dan menyokong untuk refleksi diri serta luahan emosi.
Melengkapi inisiatif ini ialah pertandingan seni kanak-kanak, yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kanser dalam kalangan generasi muda. Melalui aktiviti mewarna dan melukis, kanak-kanak digalakkan untuk mempelajari empati, kebaikan hati dan kepentingan menyokong individu yang terjejas oleh kanser.
Pemenang pertandingan seni ini telah diiktiraf semasa program berlangsung, sambil meraikan kreativiti, penyertaan dan ekspresi bermakna. Beberapa karya terpilih dipamerkan dalam pameran seni yang turut diundang untuk ditinjau oleh tetamu selepas acara.
Pameran ini berfungsi sebagai ruang refleksi, berkongsi kisah dan perspektif yang disampaikan melalui seni oleh kedua-dua pesakit dan belia.
Program ini turut menghargai sumbangan penting penaja dan rakan strategik, yang membolehkan inisiatif Hari Kanser Sedunia ini terlaksana serta mencerminkan komitmen kolektif terhadap penjagaan berorientasikan pesakit dan kesejahteraan komuniti.
Bersempena Hari Kanser Sedunia 2026, JPMC dan TBCC mengukuhkan semangat 'United by Unique', menghormati pengalaman kanser setiap individu sambil memperteguh penjagaan bersama, berlandaskan kepercayaan bahawa penyembuhan dapat disokong melalui empati, kreativiti dan semangat komuniti.